Jurulatih Felda United, B. Sathianathan, yakin kehadiran bekas pemain kebangsaan, Nidzam Jamil, selaku pembantunya mampu memacu The Fighters untuk berada dalam kelompok empat pasukan terbaik Liga Super musim ini.

Nidzam dilantik sebagai pembantu jurulaih Felda United selepas pemegang jawatan sebelum ini, Ahmad Shahrul Azhar Sofian, berhijrah ke Perak untuk memegang jawatan sebagai pengurus serta Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (PFA).

Sathianathan ketika ditemui mengakui sedih apabila terpaksa melupakan khidmat bekas pembantunya itu, namun yakin dengan kredibiliti yang ada pada Nidzam.

“Kami memang berasa sedikit sedih dengan penghijrahan Ahmad Shahrul ke pasukan Perak, namun tetap berbangga dengan pencapaiannya.

“Bagaimanapun, saya optimis kehadiran Nidzam Jamil selaku penolong jurulatih dapat membantu saya melalui pengalaman yang dimilikinya,” katanya.

Felda United bakal melayani kunjungan Pahang dalam aksi Liga Super di Jengka, Sabtu ini, dan pengendali berusia 59 tahun itu sudah memiliki perancangan tersendiri.

“Pahang adalah sebuah skuad yang kuat pada musim ini, mereka berada di tangga kedua serta memiliki rekod jaringan yang baik dalam Liga Super.

“20 minit pertama adalah detik terpenting dalam perlawanan dan jika kami berjaya mendominasinya, saya yakin kami mampu meraih tiga mata,” ujar Sathianathan lagi.