"Kemenangan kami diragut," itu luahan jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff, yang kecewa apabila skuad Lang Merah dinafikan sepakan penalti dalam aksi Liga Super berdepan Terengganu FC (TFC) di Stadium Darulaman yang berakhir seri 1-1, malam tadi.

Pemain gantian Kedah, Mohd Fadzrul Danel, dikasari oleh Nasrullah Hanif, namun tiada sepakan penalti diberikan.

Nidzam kecewa dengan keputusan pengadil kerana berasakan memang terdapat terjahan dari belakang dilakukan pemain lawan.

"Walaupun tidak memiliki barisan terbaik, kami meraih satu mata. Pengadil telah memberikan satu mata kepada TFC kerana kami berhak mendapatkan sepakan penalti," kata Nidzam.

Bagaimanapun, aksi beberapa pemain muda, terutama pemain sayap, Hidhir Idris, cukup mengagumkan walaupun Kedah sebelum ini dijangka sukar meraih sesuatu ekoran kehilangan enam pemain utama, termasuk Andik Vermansyah dan Liridon Krasniqi.

"Saya akan membuktikan kepada penyokong Kedah bahawa saya setanding dengan Akhyar Rashid dan Andik ketika beraksi," kata Hidhir.

Sementara itu, jurulatih TFC, Irfan Bakti Abu Salim, masih boleh tersenyum biarpun skuadnya gagal menamatkan kemarau kemenangan ke atas Kedah sejak 2016.

"Saya kecewa kerana gagal menamatkan badi ke atas Kedah walaupun mereka tidak beraksi dengan skuad terbaik tetapi kami gembira di atas keputusan ini," katanya.