Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mengesahkan sudah melengkapkan segala syarat yang ditetapkan oleh Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) sebelum tempoh pendaftaran ditutup dan yakin pemain import baru kelahiran Perancis, Seydi L’Imam, boleh didaftarkan bersama The Red Warriors (TRW) musim ini.

Naib Presidennya, Datuk Muhammad Nasir Hamzah, berkata segala urusan dokumentasi pemain yang bakal menggantikan Alessandro Celin itu berjaya disiapkan dan kini terpulang kepada badan pengendali bola sepak Malaysia itu untuk meluluskan atau tidak permohonan tersebut.

“Boleh saya katakan, semua urusan dokumentasi melibatkan L’Iman sudah selesai dilakukan dan terserah kepada budi bicara FMLLP untuk meluluskan atau tidak permohonan KAFA.

“Tetapi, saya yakin mereka (FMLLP) tidak ada masalah membenarkan kami mendaftarkan pemain ini sebagaimana yang telah dibincangkan pada 5 Jun,” katanya kepada media.

Nasir juga beranggapan sebarang pertikaian yang berlaku sepatutnya diselesaikan dalam bilik rundingan dan bukannya melalui media sosial yang tidak menguntungkan mana-mana pihak.

“Saya sentiasa yakin bahawa kemelut seperti ini boleh diselesaikan melalui perundingan dan bukannya konfrontasi dalam media sosial yang tidak menguntungkan kedua-dua belah pihak,” katanya.

Ditanya mengenai penyokong yang semakin hilang kepercayaan kepada kepimpinan KAFA akibat beberapa isu yang memalukan, Muhammad Nasir mahukan penyokong terus memberi sokongan yang padu demi bola sepak Kelantan.

“Saya merayu kepada penyokong supaya memahami kemelut yang berlaku kepada KAFA sekarang. Tidak ada mana-mana persatuan yang suka berada dalam situasi sebegini.

"Cuma semua orang tahu setiap musim kami bermula dengan segala kekurangan. Kami tidak ada penaja yang kuat sebagaimana pasukan yang lain. Namun, kami berbangga mempunyai pemain dan penyokong yang kental.

“Namun, sejak akhir-akhir ini bila kami ada masalah, nampaknya penyokong tidak memberi kerjasama kepada KAFA. Saya harap mereka kembali memberi kepercayaan kepada KAFA demi bola sepak Kelantan,” katanya.