Status rayuan 10 pasukan yang dikenakan tindakan kerana gagal atau lewat dalam proses melengkapkan pendaftaran Liga Malaysia hanya akan diketahui selepas mesyuarat ahli lembaga Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Ahad ini.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam, mengesahkan 10 pasukan terbabit telah menghantar rayuan sebelum tarikh tutup, esok.

Keputusan bakal diketahui Ahad ini dan Kevin meramalkan akan ada perubahan dalam jumlah denda buat setiap pasukan, bergantung kepada kes kesalahan setiap pasukan.

Pasukan yang berjaya dalam rayuan akan mendapat kembali baki bayaran yang disekat selepas pemberian geran, Rabu lalu.

"Kami telah mengumpul semua rayuan dan telah menyediakan laporan kepada ahli lembaga FMLLP. Pada Ahad ini, keputusan akan dibuat terhadap nasib pasukan-pasukan yang gagal menguruskan pendaftaran Liga M," katanya.

Sementara itu, Kevin menjelaskan terdapat kemungkinan enam pasukan yang lewat mengemukakan pendaftaran masih boleh terlepas hukuman sekatan perpindahan pemain yang bermula Mei ini.

Namun, segalanya bergantung kepada budi bicara ahli lembaga pengarah FMLLP.

"Setiap dokumen sudah lengkap tetapi pelanggaran telah berlaku dan hukuman tetap akan diberikan. Ahli lembaga FMLLP akan memutuskan jenis hukuman yang bakal dikenakan," katanya lagi.