Harapan yang diletakkan kepadanya untuk merobek pintu gol lawan tidak memberi tekanan kepada penyerang import T-Team, Yannick N’Djeng, yang akan membuat penampilan sulung bertemu Selangor, Sabtu ini.

Malah, pemain berusia 27 tahun itu enggan diadili dengan jumlah gol yang akan disumbangkan, sebaliknya memberi fokus untuk membantu pasukan itu mencipta kemenangan di atas padang.

Tambah N’Djeng, keutamannya ialah membantu T-Team mendapatkan tiga mata dalam setiap perlawanan dan hanya mengikut perancangan ketua jurulatihnya, Rahmad Darmawan.

“Saya akan turun membantu barisan pertahanan, mendapatkan kembali penguasaan bola atau memberi tekanan kepada pemain lawan sekiranya diarahkan.

“Tidak dinafikan penyokong mahu melihat saya menjaringkan gol kerana status selaku penyerang import, namun saya enggan mengejar pencapaian peribadi,” ujarnya.

Menurutnya lagi, tempoh hampir dua minggu berada di Kuala Terengganu memberi gambaran corak dan rentak permainan The Titans meskipun mengakui masih berusaha mendapatkan tahap kecergasan terbaik.

Katanya, setiap pengendali mempunyai falsafah tersendiri dan sebagai pemain, dia perlu bersedia untuk menterjemahkan aksi terbaik di atas padang.

“Ketua jurulatih mengenali pasukannya lebih arif berbanding orang lain dan percaturan taktikal mungkin berbeza bergantung kepada perlawanan.

"Beraksi di gelanggang lawan lebih sukar dan kami perlu bekerja sebagai satu pasukan tanpa mengira siapa menjaringkan gol," kata N'Djeng.

Pemain kelahiran Cameroon itu dipilih mengetuai jentera serangan T-Team selepas pasukan itu menggugurkan Farhod Tadjiyev dari Uzbekistan, ketika jendela perpindahan pemain yang lalu.