Prestasi yang begitu mengecewakan rentetan kekalahan berterusan, termasuk dimalukan 3-1 oleh Felda United di gelanggang sendiri dalam aksi Liga Super malam tadi, mungkin petanda jodoh David Usop dan Sarawak akan berakhir.

Desakan kuat penyokong mula kedengaran malam tadi, malah pentadbir persatuan itu sendiri, berikutan rentetan keputusan menyedihkan selain tidak sekali pun menang di laman sendiri dalam aksi Liga Super mahupun Piala Malaysia.

Dengan berada di kedudukan ke-10 dan sekadar mengutip 14 mata, suara-suara sumbang menuntut David direhatkan kini makin lantang.

"Kalau dahulu, kami terima bahawa mungkin kelemahan pemain menjadi punca.

"Pemain import, Mark Hartmann dan Lee Jongho, telah dibebaskan, namun prestasi masih mengecewakan.

"Kami mempunyai pemain-pemain yang berbakat tetapi masih gagal memberikan penyudah yang membahagiakan," kata salah seorang pengendali persatuan yang ditemui.

Jelas, minat penyokong terhadap David semakin pudar dan ramai yang mengkritik dan mengatakan punca kekalahan adalah gaya pengendalian dan taktikalnya.

"Pemain sudah ditukar tetapi prestasi masih sama. Ini bermakna yang bermasalah adalah jurulatih," kata seorang peminat di Facebook yang dikenali sebagai Wahab Dollah.

Sementara itu, sumber Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) memberitahu situasi David kini genting kerana pihak pengurusan sedang menilai semula peranannya.

"Dia mungkin direhatkan atau diberi pilihan lain. Perbincangan rapi sedang dilakukan," kata sumber itu lagi.

Jika ini berlaku, ia adalah pengendali ketiga yang dilepaskan pada pertengahan musim selepas Robert Alberts dan Datuk K. Rajagobal berikutan prestasi suram.