Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menafikan laporan sebuah akhbar tempatan kononnya pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) itu akan menyerahkan geran tahunan kepada pasukan Liga-M, Ogos ini.

MFL dalam satu kenyataan memaklumkan mereka kini dalam fasa terakhir untuk memutuskan penajaan baru Liga-M selepas penamatan kontrak dengan Telekom Malaysia (TM) pada 15 Mac lalu dan perkembangan mengenai penajaan baru itu bakal diumumkan hujung bulan ini.

“MFL juga mengesahkan tidak pernah memaklumkan kepada rakan kongsi untuk menyerahkan geran tahunan pada Ogos ini dan jelas sekali laporan yang disiarkan itu tidak berasas tanpa mendapatkan maklumat tepat,” jelas MFL.

MFL menegaskan mereka memiliki unit media yang sentiasa bersedia memberikan maklumat atau mengesahkan sesuatu berita yang ingin dilaporkan dan laporan sebegini langsung tidak membantu kepada usaha MFL mendapatkan penajaan baru, malah boleh memberikan kesan yang negatif.

Tambah MFL, unit media itu sentiasa berhubung dengan semua aliran media dan memberi respons yang pantas dalam setiap pertanyaan jika ada.

Laporan akhbar berkenaan mendakwa MFL bakal menyerahkan geran tahunan kepada pasukan Liga Perdana dan Liga Super pada Ogos ini, namun bayaran berkenaan akan diawalkan sekiranya MFL berjaya memuktamadkan perjanjian dengan penaja baru.

-- BERNAMA