Di sebalik kemenangan sulung dalam saingan Liga Super musim ini selepas menundukkan Pulau Pinang 1-0 di Stadium Batu Kawan semalam, jurulatih Sarawak, David Usop, tetap tidak berpuas hati dengan kualiti permainan yang ditunjukkan anak buahnya.

"Mereka bermain dengan baik dalam 10 minit pertama, namun hilang rentak 35 minit berikutnya," katanya. "Hal yang sama berulang pada separuh masa kedua, dengan penguasaan sekitar 20 ke 25 minit sahaja, sebelum kembali ditekan Pulau Pinang.

Tambahnya, selepas gol Mark Hartmann pada minit ke-72, serangan bertali arus dilancarkan tuan rumah bagi memburu gol penyamaan.

David, bagaimanapun, merakamkan penghargaan kepada penjaga gawang, Mohd Shahril Sha'ari, yang mempamerkan persembahan cukup bersemangat untuk menggagalkan impian lawan.

"Saya gembira kami mencapai objektif. Saya berharap pemain dapat membaiki corak permainan pada kadar segera.

"Syukur, pertahanan kami berjaya berkubu dengan cemerlang, seterusnya dapat menahan asakan lawan.

Sarawak kembali ke Kuching hari ini bagi menghadapi perlawanan pertama Piala FA menentang MISC-MIFA di Stadium Negeri, esok.

"Saya jarang mendengar malah kurang maklumat tentang pasukan ini yang dilatih Jacob Joseph ini.

"Namun kita tidak memandang mudah saingan mereka kerana berdasarkan rekod, pasukan ini pernah mengalahkan JDT II selain kalah tipis kepada Pahang dan Terengganu," kata David.

David berkemungkinan besar menurunkan kesebelasan pemain yang sama dalam aksi menentang Pulau Pinang kerana kesuntukan masa.

"Saya juga berharap para pemain dapat cepat menyerap tekanan untuk mencipta laluan selesa dalam Piala FA ini," katanya.