"Saya kecewa," itu reaksi pengurus pasukan bola sepak Melaka, Datuk Wira Yusoff Mahadi, apabila dua perlawanan persahabatan di Kemboja dibatalkan gara-gara kesilapan teknikal.

Skuad Melaka dijadualkan mengharungi empat perlawanan untuk aksi pra-musim di Phnom Penh dari 3 hingga 10 Januari ini.

Perlawanan tersebut membabitkan aksi menentang Army FC, Tiger FC, Police FC dan juara Liga Kemboja, Boeung Ket Angkor FC.

Namun, selepas tewas 1-3 menentang Army FC, Khamis lalu, skuad Hang Tuah kempunan menguji kekuatan dengan Tigers FC pada Jumaat dan Police FC pada Ahad.

"Kita telah pun menghantar surat kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) memberitahu jadual perlawanan kita dan dengan siapa lawan kita.

"Tetapi saya difahamkan pihak AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) menghantar surat kepada Persatuan Bola Sepak Kemboja yang berlainan dengan apa yang kami tuliskan dalam surat yang dihantar ke FAM.

"Walaupun ini kesilapan teknikal, bagaimanapun saya agak kecewa dengan apa yang berlaku," jelasnya.

Mujur, pendatang baru Liga Super ini berjaya mendapatkan perlawanan gantian pada Ahad bertemu pasukan relegasi Liga Kemboja 2016, Asia Euro United.

Fauzi Roslan, Ilija Spasojevic dan Sergio Aguero masing-masing berjaya meledak jaringan untuk membantu kemenangan 3-0 Melaka dalam perlawanan itu.