Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) menjemput Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjadi satu daripada exconya bagi melindungi persatuan itu daripada rasuah sama ada dalam di atau di luar padang.

Presiden MUSA, Damian Yeo Shen Li, berkata beliau telah menulis surat kepada SPRM untuk menjemput pengarah SPRM Melaka bagi melantik mana-mana pegawainya untuk berada dalam persatuan itu sebagai exco dan diharapkan jemputan itu dapat meningkatkan keyakinan penaja selain mengelakkan rasuah.

“(Selama ini) rundingan (dengan) pemain atau pembekal tidak mengendahkan kepentingan masyarakat, memecat pemain tanpa mematuhi undang-undang, tiada tender terbuka, hanya rundingan terus.

“(Tiada lagi isu) ketiadaan bajet atau terlebih bajet dan kontrak yang menyebelahi satu pihak menjadikan persatuan semakin parah. Sebagai presiden dan di bawah pemantauan saya, perkara sedemikian tidak akan berlaku lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yeo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong dilantik sebagai presiden MUSA pada 1 November lalu selepas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, meletak jawatan.

Dalam sidang akhbar pertama sebagai presiden, Yeo berjanji untuk memperbaiki kedudukan kewangan persatuan itu supaya pasukan dapat berada di kedudukan yang lebih kukuh.

-- BERNAMA