KELANTAN 1 MELAKA 1

Hajat Kelantan untuk memburu kemenangan kedua berturut-turut lebur apabila dipaksa seri 1-1 dengan Melaka United dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, sebentar tadi.


Skuad The Red Warriors (TRW) mengharapkan kemenangan kedua berturut-turut untuk mencabar kedudukan ke-10 carta Liga Super dan mereka tampak mengekalkan kesebelasan utama yang mengejutkan Selangor 2-1, Rabu lalu.

Melaka, yang masih segar dengan kemenangan 4-1 ke atas Kedah, turun dengan misi mahu mencatatkan kemenangan berganda ke atas TRW musim ini.

Skuad Hang Tuah memulakan permainan tetapi penyerang kebangsaan, Shafiq Shaharudin, menjaringkan gol pendahuluan Kelantan melalui sepakan kencang menewaskan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat, hasil tolakan cantik Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi pada minit ke-11.

Setengah jam permainan, jentera serangan Melaka yang diketuai Ifedayo Olusegun masih gagal menghadirkan sebarang ancaman ke kubu Kelantan yang diketuai penjaga gol veteran, Mohd Shahrizan Ismail.

Bersambung babak kedua, Melaka membuat pertukaran apabila mengeluarkan S. Chanthuru dan memasukkan penyerang import, Yahor Zubovich, bagi memburu gol penyamaan.

Pada minit ke-72, penyerang TRW, Nik Azli Nik Alias, melakukan rembatan kencang dari luar petak penalti tetapi berjaya ditangkap kemas Khairul Fahmi.

Lima minit kemudian, hantaran lintang pertahanan Melaka, Khair Jones, terus ditanduk Olusegun. Malangnya, percubaannya tersasar ke kiri pintu gol Kelantan.

Penyerang import kelahiran Brazil, Cristiano Santos, hampir menjaringkan gol peribadi pertamanya, namun tolakan lemah di depan pintu gol tatkala Khairul Fahmi sudah tertewas, mengecewakan penyokong setia TRW pada minit ke-80.

Kelantan terus menyerang mencari gol kedua tetapi rembatan deras Nik Azli terus kedakapan Apek pada minit ke-88 dan tatkala Kelantan berada di ambang kemenangan, pengadil perlawanan, Suresh Jayaraman, menghadiahkan sepakan penalti kepada Melaka selepas bola terkena tangan pertahanan TRW.

Zubovich mudah menyempurnakannya untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan kedudukan 1-1 dan berkongsi satu mata.

KEPUTUSAN LAIN:

LIGA SUPER 2018

NEGERI SEMBILAN 1 PKNP FC 2
PERAK 1 PAHANG 1
PKNS FC 4 TERENGGANU 0

LIGA PERDANA 2018
JOHOR DARUL TA'ZIM 0 MISC-MIFA 1
PULAU PINANG 0 UiTM FC 0