Selangor bangkit tiga kali daripada ketinggalan untuk mengikat Kuala Lumpur 3-3 yang dibantu aksi mantap penyerang import, Rufino Segovia, yang meledak hatrik dalam aksi Liga Super di Stadium KLFA, Cheras, malam tadi.

Tampil selaku tuan rumah menentang Kuala Lumpur, Selangor turun untuk bangkit daripada kekalahan kepada Kelantan, Rabu lalu, bagi mengubati kekecewaan tewas dalam aksi final Piala FA kepada Pahang, 7 Julai lalu.

Namun, skuad Gergasi Merah bermula goyah apabila dibolosi seawal minit kelima susulan hantaran Guilherme De Paula yang disudahkan Zhafri Yahya untuk meletakkan Kuala Lumpur di depan.

Enggan terus dilanda kehampaan, Selangor yang beraksi tanpa jurulatih, Nazliazmi Nasir, ekoran masalah peribadi, bingkas bangkit untuk menyamakan kedudukan hasil jaringan Segovia pada minit ke-13.

Namun, enam minit kemudian, Kuala Lumpur meraih gol kedua hasil jaringan Hafiz Johar.

Tidak mengalah, Selangor kembali bangkit menjadikan kedudukan 2-2 pada minit ke-36 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Segovia ekoran K. Kannan dikasari dalam petak penalti.

Kuala Lumpur kembali memimpin perlawanan, kali ini giliran Paulo Josue mencatat nama sebagai penjaring selepas memanfaatkan hantaran Hafiz pada minit ke-47.

Namun, kehebatan Segovia nyata sukar dibendung skuad Warga Kota apabila penyerang prolifik Selangor itu berjaya berjaya menggegar gawang lawan buat kali ketiga pada minit ke-62.

Selang seminit, Kuala Lumpur ditimpa malang berganda apabila ketua pasukan, Indra Putra Mahyuddin, dilayangkan kad merah gara-gara menyiku pertahanan import Selangor, Alfonso de la Cruz.

Namun, kelebihan beraksi dengan seorang pemain gagal dimanfaatkan Selangor yang menyaksikan kedudukan 3-3 kekal sehingga wisel penamat untuk kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

"Pada dasarnya, kami bermain dengan baik, cuma kelekaaan pada setiap bahagian menyaksikan kami dibolosi tiga gol," kata pembantu jurulatih Selangor, Rusdi Suparman.

Sementara itu, jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel pula mengulas: "Ini perlawanan yang dinanti-nantikan kami.

"Saya agak kecewa kerana kami memimpin permainan sebanyak tiga kali tetapi membenarkan pihak lawan menyamakan kedudukan tiga kali."