Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr. Johan Kamal Hamidon, masih berteka-teki mengenai status pemain muda negara, Luqman Hakim Shamsudin, yang khabarnya sedang dipancing skuad Gergasi Merah itu.

Beliau mengakui pemain berusia 17 tahun sememangnya berbakat besar dan merupakan aset negara.

Sebelum ini, Nadi Arena melaporkan beberapa pasukan gergasi tanah air sedang mencuba untuk mendapatkan khidmat penyerang itu, yang mempamerkan aksi cemerlang ketika muncul naib juara Kejohanan AFF B-18 di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, dua minggu lalu.

Difahamkan, FAS telah mengadakan pertemuan dengan keluarga pemain muda itu di kediamannya baru-baru ini.

"Dia pemain yang bagus tetapi bukan hanya dia, ramai lagi pemain B-18 yang berkualiti.

"Saya harap Luqman dan pemain-pemain lain mendapat peluang bermain di luar negara untuk membawa karier mereka ke tahap yang lebih tinggi.

"Kerana itulah yang kita perlu jadi.

"Kita tidak mahu menjadi (pasukan) ke-164 di dunia," katanya.

Tambahnya, FAS akan memikul tanggungjawab besar jika Luqman Hakim menyertai mereka memandangkan pemain kelahiran Kelantan itu masih muda.

"Kalau katakan dia sertai Selangor, ia sebenarnya satu tanggungjawab yang besar.

"Ia lebih tentang apa yang kami boleh berikan kepadanya dan bukannya apa yang dia boleh berikan kepada kami.

"Kerana dia dan pemain muda yang lain adalah aset negara.

"Kalau mereka dah berjaya sehingga umur 18 tahun, tapi bila masuk Selangor atau mana-mana pasukan dalam liga dan mereka gagal menjadi pemain profesional, jadi itu salah siapa?

"Sudah pasti salah pasukan yang mengambil mereka," tambahnya.