Selepas episod "badi Stadium Negeri", Sarawak berazam untuk mengutip mata penuh ketika bertemu Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam ini.

Ketua jurulatihnya, David Usop, berkata mereka tidak memiliki pilihan lain kerana semua aksi di laman sendiri tidak menjadi.

"Kami perlu 'mandi bunga'," selorohnya, "namun begitu mengharapkan aksi di tempat lawan terus membuahkan hasil."

Beliau merujuk kemenangan 1-0 ke atas Pulau Pinang dan 3-2 di menentang PKNS sebelum ini.

Kata David, beliau amat menghormati pasukan Felda United yang kini dikendalikan jurulatih baharu, B. Sathianathan.

"Coach Sathia seorang yang tegas dan berpengalaman. Malah, beliau begitu mantap dari segi taktikal.

"Pada masa sama, kami perlu mengawal ketat pemain-pemain Felda seperti Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) selain import berbisa, Lucas Cano dan Zah Rahan Krangar," katanya.

David berkata beliau akan menurunkan kesebelasan utama seperti biasa kerana tiada pemainnnya yang masih cedera.

"Saya berharap mereka dapat bermain seperti biasa dan fokus kepada 90 minit permainan.

"Lupakan kesedihan kecundang kepada JDT dan diharapkan malam ini Mateo Roskam dan Mark Hartmann kembali menemui sentuhan," jelasnya.