Pengendali Negeri Sembilan, Mario Lemos, berkata dia tidak risau masa depannya bersama pasukan itu, tiga hari selepas K. Devan menyatakan minat kembali membimbing skuad Hobin Jang Hobin.

Sambil menjelaskan bersedia untuk kekal musim depan, jurulatih kelahiran Portugal itu mempertahankan pencapaian bersama Negeri Sembilan yang sekadar mengutip lima mata daripada 10 aksi Liga Super sebelum kehadirannya.

Mengakui Devan antara jurulatih yang pernah membawa kejuaraan kepada pasukan itu, Lemos menjelaskan rekodnya jauh lebih baik selaku jurulatih ketiga Negeri Sembilan sepanjang 2018.

"Ketika tiba di sini, saya tidak tahu corak bola sepak Malaysia, khususnya Negeri Sembilan, tetapi mampu meraih enam kemenangan di bawah kendalian saya.

"Selamat berjaya jika (Devan) benar-benar dipilih, namun saya gembira sekiranya persatuan berhasrat mengekalkan khidmat saya," katanya yang akan tamat kontrak November ini.

Untuk rekod, bekas jurulatih Muangthong United dalam Liga Thailand itu merupakan jurulatih ketiga Negeri Sembilan tahun ini selepas Jorg Steinebrunner dan Mohd Azraai Khor Abdullah.

Menamatkan Liga Super di kedudukan tercorot, Lemos juga gagal membawa Negeri Sembilan melepasi peringkat kumpulan Piala Cabaran selepas terikat 1-1 dengan Terengganu FC (TFC) II, malam tadi.

Jaringan Mohd Fauzan Dzulkifli (m-31) hampir sahaja memastikan Negeri Sembilan mengiringi TFC II ke separuh akhir, malangnya gol penyamaan Akanni Sunday Wasiu pada minit ke-73 melenyapkan perjuangan mereka.

"Kami datang ke Kuala Terengganu dengan momentum tiga kemenangan berturut-turut, namun seperti tidak bermaya malam ini (semalam).

"Kegagalan bertahan di penghujung permainan membawa padah walaupun kemenangan sudah berada di depan mata," tambahnya.