Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, menyifatkan insiden pada awal perlawanan menjejaskan rentak pasukannya yang menyumbang kepada kekalahan 0-5 kepada T-Team dalam aksi Liga Super di Kuala Terengganu, malam tadi.

Dibolosi seawal minit kesembilan, Kedah terpaksa beraksi dengan 10 pemain susulan kad merah yang dilayangkan kepada Mohd Rizal Ghazali pada minit ke-30 sebelum menamatkan babak pertama dengan ketinggalan 0-3.

Meskipun Kedah cuba bangkit selepas rehat dengan percubaan ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar, dan Mohd Syazwan Zainon yang gagal menepati sasaran, T-Team menambah dua lagi gol untuk menambah derita skuad Lang Merah.

Kekalahan besar itu jelas mengecewakan Cheng Hoe yang turut mengakui gol awal tuan rumah serta layangan kad merah itu mematahkan semangat pemain-pemainnya.

Katanya, ketiadaan Liridon Krasniqi akibat cedera dan Ken Ilso Larsen (digantung) juga menyaksikan kelemahan ketara pasukan yang gagal menyerap serangan balas T-Team.

“Keputusan ini memberi tamparan hebat kepada kami, malah kesilapan individu juga membawa kepada gol-gol pasukan lawan.

“Selepas bolos gol pertama dan kemudian beraksi dengan 10 pemain, kekuatan mental pemain terus menjunam,” tambahnya.

Sambil menafikan Kedah turun terlalu yakin sebelum perlawanan, Cheng Hoe berharap pasukannya dapat belajar daripada kekalahan memalukan itu.

Dia mahu pemain dapat mengawal emosi serta fokus sepanjang 90 minit perlawanan walaupun tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil.

Kekalahan itu, bagaimanapun, tidak mengubah kedudukan Kedah yang kekal di tangga ketiga liga selepas mengumpul 19 mata manakala T-Team, ketujuh dengan 13 mata daripada 10 perlawanan.