Tidak kurang lapan pemain akan mencuba nasib untuk mengisi kuota terakhir pemain import Sarawak menjelang penutupan pendaftaran pemain untuk Liga Super pada bulan depan.

Sarawak memerlukan pemain yang akan memantapkan posisi serangan sementelah mengikat dua pemain lain sebelum ini.

Dua pemain yang memikat ketua jurulatih, David Usop, dan Pengarah Kejurulatihan Sarawak, Abdul Wahet Uji, ialah Lee Jong Ho, 30, dari Korea Selatan dan Mark Andrew Hartmann, 24, dari Filipina.

Seorang lagi pemain import, Teah Dennis, 24, dari Liberia merupakan satu-satunya pemain import yang dikekalkan dari musim lalu.

Bermain di posisi pertahanan, Dennis telah membuktikan keserasiannya bersama skuad Sarawak dan amat membantu dalam mengekalkan pasukan Ngap Sayot itu dalam Liga Super.

Menurut David, biarpun agak mendesak, namun pihaknya tidak mahu terburu-buru mencari pemain yang akan mengisi kuota terakhir itu.

“Kami perlu berhati-hati kerana kami tidak mahu menyesal di kemudian hari.

“Oleh kerana itu, kami amat teliti dan memastikan pemain yang benar-benar serasi dengan taktikal pasukan dan mampu memberi impak akan dipilih,” katanya.

Rabu lalu, dua calon pemain import baharu -- Andy Lorei dari Amerika Syarikat, 27, dan Kim Seong Hyeon, dari Korea Selatan, 23 -- telah datang ke Bumi Kenyalang bagi menyertai sesi ujian.

Enam atau tujuh pemain lagi akan datang pada sesi yang diadakan pada 2 dan 3 Januari nanti.

"Kami masih dalam proses menapis Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) mereka dan berharap pemain-pemain tersebut akan datang untuk menjalani ujian."

Senarai lengkap pemain Bujang Senang mungkin dapat diketahui dalam tempoh seminggu sebelum majlis pengenalan pemain dilangsungkan pada 8 Januari.

Kempen Liga Super 2017 akan bermula pada 20 Januari depan dan Sarawak dijangka mengadakan dua lagi perlawanan persahabatan kompetitif selepas beraksi dalam tiga perlawanan persahabatan di Australia.

Di Australia, anak-anak buah David berjaya mengikat Floreat Athena 1-1, sebelum tumpas 3-2 kepada Bayswater City dan 2-0 kepada Perth Soccer Club.