Pengurus Melaka United, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, berasakan aksi pra-musim skuad itu di Kemboja tetap mencapai objektifnya walaupun dilanda kesulitan sepanjang berada di negara berkenaan.

Kunjungan Melaka selama lapan hari ke Kemboja sedikit terencat susulan berlaku kesilapan teknikal yang menyaksikan jadual asal perlawanan persahabatan tidak dapat diadakan mengikut perancangan.

Yusof, bagaimanapun, bersikap positif walaupun hanya perlawanan bertemu juara Liga Kemboja, Boeung Ket Angkor FC, menguji kekuatan skuad Hang Tuah dalam aksi terakhir di Stadium Olimpik Phnom Penh, semalam.

"Saya percaya jika diberikan lebih masa, Melaka mampu mendapatkan keserasian. Ia sekali gus untuk memberikan saingan hebat dalam Liga Super musim 2017," katanya.

Melaka dijadualkan bertemu Cambodian Tigers, Sabtu lalu, tetapi dibatalkan manakala jadual semalam yang sepatutnya berdepan salah sebuah pasukan utama dalam liga berkenaan juga terpaksa diganti dengan Boeung Ket.

Dalam aksi pra-musim terakhir menentang skuad itu semalam, Melaka terikat 2-2, selepas menewaskan Euro Asia United 3-0 kelmarin, dan tewas 1-3 bertemu Army FC, Khamis lalu.