Penyerang Kuala Lumpur, Zaquan Adha Abdul Radzak, mengharapkan rakan sepasukan agar menyerlahkan semangat sama seperti ketika berdepan Selangor dalam suku akhir kedua Piala FA sempena pertemuan dengan Perak, Ahad ini.

Bagi Zaquan, tumpuan skuad warga kota itu kini kembali terarah kepada Liga Super selepas tersingkir daripada saingan Piala FA, Sabtu lalu.

Zaquan sedar ia bukan satu tugasan mudah untuk beraksi di Ipoh dan Kuala Lumpur perlu berada di tahap terbaik untuk merakamkan keputusan positif.

"Misi kami dalam Liga Super masih lagi berjalan. Kami cuba membawa semangat berdepan Selangor tempoh hari untuk menghadapi aksi dalam Liga Super pula.

"Saya memuji semangat rakan sepasukan (yang tetap berjuang) biarpun mengalami defisit 0-3," kata penggempur kebangsaan itu.

Dalam masa sama, pengendali The City Boys, Fabio Maciel, membayangkan Khatul Anuar Md Jalil kekal sebagai penjaga gol pilihan utama untuk berdepan The Bos Gaurus.

Setakat ini, usaha membawa penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat, masih belum mencapai kata putus untuk jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M), bulan depan.

"Kami perlu memberi Khatul masa. Dia sedang beraksi dengan baik dan sudah tentu saya mahu mengekalkannya.

"Sejurus tiba di sini, saya sudah memaklumkan kepada barisan pemain bahawa usia bukan ukuran.

"Jika mereka memberikan aksi hebat, maka mereka akan kekal di atas padang, oleh itu saya gembira dengan persembahannya setakat ini," kata jurulatih kelahiran Brazil itu.