Pemain muda Pahang, R. Kogileswaran, nekad mahu memperkuatkan lagi kedudukannya dalam senarai pemain utama pilihan Dollah Salleh selepas kali pertama diberi mandat selaku tonggak kesebelasan utama ketika seri 2-2 dengan Kuala Lumpur dalam Liga Perdana di Stadium Cheras, kelmarin.

Dalam situasi sukar untuk Tok Gajah ketika ini, Kogileswaran atau lebih dikenali sebagai Kogi berasakan dia berada dalam situasi terbaik untuk mengambil kesempatan membuktikan kemampuan kepada Dollah bahawa dia juga mampu memikul tanggungjawab penting bersama pasukan.

Kali pertama diberi peluang untuk memulakan perlawanan, Kogi masih belum berpuas hati dan memberi jaminan dia mampu menampilkan corak aksi lebih mantap jika diberi peluang lagi selepas ini.

"Kalau diberi peluang, saya akan memberi habis-habisan. Ia bergantung kepada jurulatih dan persembahan saya.

"Kalau (saya) tidak menunjukkan aksi baik dalam latihan, saya tidak layak untuk beraksi," katanya.

Bagaimanapun, pemain muda itu cemerlang menyempurnakan jaringan cantik dalam babak kedua, sekaligus menyelamatkan Pahang daripada kehilangan mata dalam perlawanan itu.

"Hari ini (kelmarin) saya tidak cukup puas hati dengan persembahan saya, terutama dalam separuh masa pertama.

"Dalam separuh masa kedua pula, saya letakkan di minda, kalau ada peluang saya akan gunakan tidak kira dari mana. Tetapi saya cuba nasib saya dan ia menjadi," katanya lagi.

Ketiadaan Francis Forkey Doe yang mengalami kecederaan meletakkan Kogi dan Norshahrul Idlan Talaha sebagai pilihan yang ada buat Dollah.

Namun, keadaan Norshahrul yang tidak cergas sepenuhnya membuka peluang buat Kogi memulakan perlawanan di Stadium Cheras.