Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran terdapat banyak unsur meragukan di sebalik isu penangguhan kongres ke-31 persatuan itu yang sepatutnya berlangsung Ahad lalu.

Amaran itu diberikan Naib Presiden KLFA, Datuk Kamarudin Hassan, kerana mempertikaikan cara Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PSM), Datuk Zaiton Othman, dalam mengendalikan isu berkenaan.

Beliau mempersoalkan mengapa PSM merujuk kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tanpa memanggil KLFA duduk semeja, malah hanya bertindak ekoran menerima rungutan sebilangan ahli gabungan.

Tambah membingungkan, Kamarudin hairan mengapa surat penangguhan daripada PSM boleh jatuh di tangan pihak ketiga sebelum sampai ke pengetahuan KLFA.

"Saya mahu bersemuka dengan Datuk Zaiton dan mengetahui apa masalah sebenarnya. Mengapa ia diberi pada saat akhir dan mengapa ia diterima oleh pihak lain terlebih dahulu. Di mana integriti PSM?

"Kami boleh melaporkan kepada SPRM dan saya rasa terlalu ketara PSM tidak menjalankan tugas secara telus, sama ada staf dalam badan itu yang membocorkan atau sebaliknya. Saya hanya meminta perkara ini disiasat," katanya.

Dalam masa sama, Kamarudin mendedahkan mereka mengalami kerugian hampir RM30,000 ekoran notis penangguhan yang diterima 48 jam sebelum tarikh kongres.

Penangguhan itu jelas memberi kesan besar kepada persiapan Kuala Lumpur dan sehingga kini masih belum menerima sebarang kata putus mengenai tarikh mesyuarat agung yang baru.

"Kami ingin melakukan persiapan pun terganggu. Tarikh 28 November akan bermula pendaftaran sehingga Januari, jadi masalah begini menyebabkan pemain dan kami sendiri terkapai-kapai. Kami juga susah untuk mendapatkan pemain."