Pemain tengah Kuala Lumpur, Zhafri Yahya, memainkan peranan penting dalam menjana kemenangan pasukannya ke atas Johor Darul Ta'zim (JDT) II dalam aksi Liga Perdana, Jumaat lalu.

Aksi berdepan JDT II menyaksikan dua jaringan tuan rumah berpunca dari sentuhan Zhafri menerusi sepakan penjuru.

Namun, Zhafri menyifatkan sepakan penjuru berkesan itu adalah hasil percaturan bola mati yang dirangka jurulatihnya, Wanderley Junior.

"Sepakan penjuru yang menjadi punca kemenangan kami adalah hasil taktikal pasukan.

"Kami telah berbincang untuk menjaringkan gol daripada situasi itu dan akhirnya kami berjaya," katanya.

Formasi 4-3-3 yang diterapkan pengendali kelahiran Brazil itu kini semakin serasi dengan pemain.

Bekas pemain Piala Presiden Selangor itu mengakui skuad Warga Kota musim ini mempunyai barisan lebih seimbang berbanding musim lalu.

"Corak permainan Kuala Lumpur berbeza sama sekali sejak kedatangan Wanderley.

"Saya lebih selesa dengan corak permainan dan rakan sepasukan juga menunjukkan disiplin tinggi di bawah bimbingannya."