Di sebalik keperluan untuk terus menguji pemain bagi kempen Piala AFF Suzuki, pengendali Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee, tetap mahu skuad negara memburu kemenangan ke atas Singapura dalam aksi persahabatan antarabangsa kelas A, 7 Oktober ini.

Seramai 13 pemain sudah melaporkan diri bagi latihan pusat persahabatan menentang Singapura dan kemudiannya, Afghanistan pada 11 Oktober ini.

Empat daripada mereka adalah muka baru dalam skuad kebangsaan -- pemain pertahanan, Khuzaimie Piee, dan selebihnya pilihan di bahagian tengah dan serangan, Hadin Azman, Fazrul Hazli serta Darren Lok.

Dengan tumpuan untuk memantapkan bahagian benteng, Kim Swee tidak rela episod duka kekalahan kepada Indonesia sebelum ini berulang ketika menentang satu lagi musuh tradisi, Singapura.

"Penting untuk saya menilai pemain-pemain ini. Pada masa yang sama, penting untuk kita mencapai kemenangan di mana ia akan mengekalkan ranking kita.

"Ranking kita telah bertambah baik dan saya berharap ia dapat diperbaiki sedikit demi sedikit kerana kedua-dua perlawanan adalah bertaraf antarabangsa kelas A," jelas jurulatih berkenaan.

Kehadiran Darren, bagaimanapun, membangkitkan pelbagai persoalan memandangkan aksi kompetitifnya musim ini bersama Johor Darul Ta'zim II (JDT) terhad kepada penampilan 45 minit ketika menentang Kuala Lumpur dalam aksi Liga Perdana, 23 September lalu.

Bagaimanapun, kehadiran pemain berdarah kacukan Inggeris ini berupaya menjadi penyelesaian terhadap krisis penyerang yang berpanjangan menghantui skuad negara.

"Akhirnya, dia dapat status warganegara. Sepanjang tempoh itu, kami telah mengikuti perkembangannya.

"Pada masa yang sama, saya telah hantar pembantu saya untuk meninjau perlawanan terakhirnya. Saya rasa itu sudah memadai untuk menilai sejauh mana keupayaannya."