Baik pengendali tempatan ataupun import, perkara paling utama adalah bagaimana sesebuah pasukan, kelangsungan mereka di atas padang serta mengikut pendekatan yang telah diterapkan menjadi keutamaan bagi menghasilkan keputusan yang positif.

Demikian penegasan pemerhati sukan negara, Zainal Abidin Rawop, mengenai keberkesanan pengendali tempatan mahupun import dalam mencari kejayaan bersama pasukan bola sepak dalam saingan Liga Malaysia.



Selain JDT, pengendali tempatan menjadi pilihan empat pasukan terbaik dalam saingan Liga Super, Zainal menyifatkan barisan pemain serta pemahaman mereka antara satu sama lain merupakan kunci kejayaan pasukan.

"Kami perlu menilai perkara ini menerusi barisan pemain dalam sesebuah pasukan. Setiap pasukan memiliki lima pemain import dan 15 pemain tempatan. Bagaimana mereka mencapai keserasian serta mengikut pendekatan yang telah ditetapkan oleh jurulatih," jelas Zainal.

"Sebagai contoh, Irfan Bakti, Datuk K. Rajagobal dan B. Sathianathan -- golongan ini sangat berpengalaman dan memiliki kualiti yang dihormati setiap pemain di dalam pasukan."

Sementara itu, Zainal menyifatkan Negeri Sembilan telah melakukan percaturan yang salah dengan mengetepikan khidmat Asri Ninggal yang telah membentuk pasukan lebih awal daripada kedatangan Jorg Steinnebrunner.

"Negeri Sembilan telah melakukan percaturan yang salah apabila melepaskan khidmat Asri Ninggal. Beliau telah membentuk pasukan ini lebih awal sebelum mereka melantik Steinnebrunner tetapi gagal menghasilkan ramuan yang terbaik buat skuad Jang.

"Kehadiran semula Azraai Khor Abdullah bersama Negeri Sembilan dilihat sebagai satu jalan untuk menyelamatkan pasukan. Beliau mengetahui apa yang harus dilakukan untuk pasukan ini," ujarnya.