PKNP FC mengalami kerugian berganda berikutan kegagalan kekal dalam Liga Super 2020.

Dalam perkembangan terbaru, presiden pasukan itu, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, mengumumkan peletakan jawatannya berkuatkuasa hari ini.

Tindakannya itu dibuat melalui surat yang dikeluarkan daripada pejabat Penasihat Menteri Besar Perak itu.

Dalam surat dua perenggan itu yang ditujukan kepada Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, Zainol Fadzi hanya menyatakan peletakan jawatannya serta mengucapkan terima kasih di atas kepercayaan diberikan kepadanya selama ini.

Walaupun tidak menyatakannya secara terbuka, tindakannya itu dipercayai berkaitan janji untuk meletak jawatan sekiranya PKNP FC tersingkir ke Liga Perdana 2020.

Dalam ucapannya, Zainol Fadzi berkata akan meletak jawatan keesokan harinya andai mereka tersingkir.

Presiden PKNP FC itu berikrar sedemikian ketika melontarkan cabaran kepada pegawai dan pemain pasukan itu semasa majlis berbuka puasa pada 27 Mei lalu.

Usaha menghubungi beliau gagal.

PKNP FC yang menduduki tangga ke-10 satu ketika, tumpas perlawanan terakhir kepada Petaling Jaya City FC 1-0 malam tadi apabila dipintas pada saat-saat akhir oleh Felda United yang membelasah Kedah 5-1.