Pengendali Perak, Mehmet Durakovic, jelas teruja dengan persembahan anak buahnya setelah menang 3-0 ke atas Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium TLDM Lumut, semalam.

Beliau juga tidak menjangka jumlah jaringan Perak memandangkan lawan adalah antara pasukan terkuat dalam saingan liga ketika ini.

"Perak menguasai permainan. Pemain bergerak sebagai satu unit yang lengkap. Secara jujurnya, Perak patut menjaringkan lebih gol lagi, terutama peluang-peluang yang terhidang dalam separuh masa kedua.

"Bagaimanapun, pada saya, 3-0 adalah keputusan yang sangat baik kerana Selangor sebuah pasukan yang hebat," ujarnya.

Durakovic juga berharap prestasi sebegini dapat dikekal dan ditingkatkan dalam perlawanan-perlawanan mendatang.

"Jika fokus 90 minit, tidak membuat kesalahan-kesalahan mudah dan kurangkan kesilapan individu, Perak adalah pasukan hebat. Oleh itu, kalau boleh saya mahu pemain kekalkan prestasi seperti perlawanan ini.

"Saya mahu pemain hadamkan kenangan malam ini, berehat seketika dan fokus kembali kepada pertembungan dengan Pulau Pinang FA, Sabtu ini, dalam saingan Piala FA." ujarnya.

Perak kini di tangga keenam liga selepas lima perlawanan.