Kemelut dalaman gugat perancangan The City Boys 

By Staff Writer 17 November 2018 893
Kemelut dalaman gugat perancangan The City Boys 
Masalah dalaman yang kini membelenggu Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) mampu merencatkan hajat The City Boys untuk muncul antara  pencabar utama Liga Super musim depan. 

Menerusi surat yang bertarikh 15 November lalu, Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) mengambil keputusan untuk membatalkan mesyuarat agung tahunan (AGM) KLFA yang sepatutnya berlangsung esok. 

Ia susulan terdapat beberapa badan gabungan yang tidak berpuas hati dan menghantar bantahan kerana berasakan hak mereka dinafikan.

Lebih rumit, perkara itu memberi kesan buat persiapan pasukan Kuala Lumpur tatkala rata-rata pesaing lain sudah pun memancing tonggak baru serta merangka perlawanan pra-musim.

"Apabila berlakunya perkara sebegini, ia menyusahkan kami untuk menyenaraikan pemain-pemain baru kerana tidak dapat membeli dan membuat tawaran. 

"Janganlah menyusahkan KLFA sehingga mungkin menyebabkan kami tidak mempunyai pasukan (yang mantap)," ujar Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustafa.

Sembilan pemain baru yang berada bawah radar KLFA mungkin menukar fikiran sekiranya rundingan lambat dimeterai.

Terlebih dahulu, PJS perlu menjadi orang tengah bagi menyelesaikan kemelut ini sebelum mencadangkan tarikh AGM yang baru.

"Kalau perkara ini berlarutan, kami tidak akan ada pemain (berkualiti).

"Kami tidak boleh mengadakan sebarang perbincangan ketika ini kerana belum ada pengurusan. 

"Selagi perkara ini masih tergantung, ini akan mencetuskan masalah buat KLFA," katanya lagi. 

 

About Author

Staff Writer

Comment