Pihak pengurusan PKNS FC mengadakan kem motivasi selama dua hari bermula hari ini dalam usaha meningkatkan kembali prestasi pasukan dalam saingan Liga Super.

Bagi pengendali PKNS, E. Elavarasan, kem motivasi seperti ini juga penting dalam usaha memperkuatkan mental pemain dalam saingan Liga Super.

Sebelum ini, Elavarasan menggunakan tempoh rehat daripada saingan liga selama dua minggu bagi memperbaiki kelemahan bahagian tengah dan pertahanan pasukan.

"Saya berharap kem motivasi ini mampu memberikan semangat kepada pemain-pemain menghadapi perlawanan akan datang, terutama sekali tumpuan pada permulaan permainan,"
katanya.

Pemain tengah PKNS, Mohd Fauzan Dzulkifli, turut menyambut baik kem motivasi yang dianjurkan pengurusan pasukan PKNS.

Bagi Fauzan, selepas mengharungi lapan aksi liga super yang sukar, kekuatan mental pemain juga perlu berada di tahap terbaik dalam usaha meningkatkan kembali prestasi pasukan.

"Program ini mampu meningkatkan semula kekuatan mental kami. Di atas padang, kami terus memperbaiki permainan daripada aspek teknikal dan taktikal," kata Fauzan.

Selepas lapan perlawanan Liga Super, PKNS kini menghuni tangga kesembilan liga dengan lapan mata dan skuad Elavarasan jelas perlu menjelmakan peningkatan dalam usaha mengukuhkan kedudukan liga.