Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Ulisses Morais, menyifatkan kejayaannya menjulang skuad Harimau Selatan dengan gelaran juara Liga Super 2017 tidak hadir dengan mudah walaupun dia sekadar tampil sebagai watak pengganti sejak pertengahan musim ini.

Morais menyertai JDT pada Jun lalu ketika prestasi pasukan tidak menentu di bawah bimbingan Benjamin Mora.

Meskipun memiliki reputasi hebat dan dibarisi pemain berkualiti, JDT tetap diberi nafas baru menerusi taktikal berbeza sentuhan pengendali dari Portugal itu.

Percaturan membawa masuk Morais nyata membuahkan hasil apabila kejuaraan Liga Super kekal di bumi Johor untuk musim keempat berturut-turut.

"Ketika kami datang ke sini, saya dapati pasukan ini tidak bermain dengan baik dalam beberapa aspek.

"Jadi, kami berkerja keras membentuk semula prestasi pemain menerusi pendekatan berbeza. Ia cukup sukar tetapi kami berjaya melakukannya bersama pemain."

JDT, yang sudah mengesahkan kejuaraan Liga Super dalam aksi terdahulu, memastikan kejayaan berganda apabila cemerlang menundukkan Kelantan 3-0 di Stadium Larkin, malam tadi.

Tiga gol JDT dihasilkan S. Kunanlan, Gonzalo Cabrera dan kapten, Safiq Rahim.

Lebih manis, JDT muncul pasukan pertama menjulang trofi baru Liga Super dengan majlis penyerahan trofi disempurnakan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi.