Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh, gembira dengan kehadiran Dickson Nwakaeme dalam skuad kendaliannya musim ini yang disifatkan mampu memberi nafas baru kepada skuad Tok Gajah bagi menghadapi Liga Malaysia, khususnya saingan Liga Super.

Katanya setakat ini pemain import dari Nigeria itu dilihat tiada masalah dan diyakini mampu menyesuaikan diri dengan anggota sepasukan.

"Kehadiran pemain ini mampu menguatkan bahagian serangan Pahang.

"Semasa Pahang beraksi di Thailand baru-baru ini pun, kami tak ada penyerang dan saya tidak menurunkan dua pemain import Pahang yang ada," kata Dollah.

Perkembangan terbaru itu menyaksikan Pahang kini memiliki empat pemain import selain Saddil Ramdani dari Indonesia, Herold Goulon (Perancis) dan Safuwan Baharudin (Singapura).

Dollah berkata skuad Pahang dijangka lengkap minggu depan dengan kehadiran seorang lagi pemain import untuk mengharungi cabaran musim 2019.

"Seorang lagi pemain import kami dalam perjalanan dan difahamkan dia sudah sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Pada minggu depan, saya rasa Pahang sudah cukup lengkap sebagai satu pasukan dengan lima pemain import," katanya.

Musim lalu, skuad Tok Gajah berjaya merangkul Piala FA selain menamatkan saingan Liga Super di tangga keempat.

--BERNAMA