Jurulatih Melaka United, Eric Williams, masih belum berasa selesa dengan kedudukannya setelah sekadar meraih satu mata dalam saingan Liga Super berdepan Felda United, malam tadi.

Williams menjangkakan barisan pemainnya mampu untuk meraih tiga mata tanpa memberi peluang kepada lawan untuk menyamakan jaringan pada masa tambahan sehingga wisel penamat dibunyikan.

Walaupun tidak tewas, keputusan itu masih mengecewakan Williams, yang menyifatkan anak buahnya gagal menyempurnakan penyudah dengan berkesan meskipun peluang terhidang di depan mata.

Justeru, Williams berharap perubahan aksi yang lebih mantap dapat dilakukan dalam perlawanan menentang PKNS pada 26 April yang turut menjadi penentuan posisinya sebagai ketua jurulatih.

"Setiap pasukan dan perlawanan adalah cabaran untuk kami. Melaka perlu cuba memastikan setiap peluang disempurnakan dengan jaringan gol," kata Williams.

Bagi pengendali Felda United, B. Sathianathan, beliau memuji kebangkitan anak buahnya di penghujung perlawanan sehingga menafikan misi tuan rumah untuk meraih tiga mata.

Namun, itu tidak bermakna beliau berpuas hati sepenuhnya dengan aksi pemain secara keseluruhan kali ini.

"Pemain-pemain kami telah berusaha sehingga penghujung perlawanan, saya berasa kurang berpuas hati dengan sentuhan penyudah kerana kami berpeluang untuk meraih tiga mata penuh," kata Sathianathan.