Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, tidak terkesan dengan kelebihan Selangor yang memiliki ramai bekas pemain Kedah, sebaliknya kekal berkeyakinan terhadap kekuatan anak buahnya untuk menyaingi kredibiliti lawan itu menjelang aksi Liga Super di Alor Setar, malam ini.

Ketika ramai berpendapat kelebihan dan kekurangan Kedah akan mudah "dibaca" Selangor, Aidil menegaskan situasi itu tidak semudah yang disangka.

Selangor cemerlang dengan kudrat bekas pemain Kedah seperti Sandro Da Silva, Khyril Muhymeen Zambri, Syazwan Zainon dan Abdul Halim Saari, namun ia tidak bermakna skuad The Red Giants itu mampu untuk meramalkan gerakan Kedah.

"Saya memberikan kepercayaan 100 peratus kepada pemain.

"Selalunya, selepas kami tewas, kami akan bangkit semula.

"Saya percaya dengan kesungguhan mereka, ia akan memberikan keputusan yang baik," katanya.

Bagi Aidil, Kedah perlu bangkit daripada kekalahan di tangan Melaka minggu lalu untuk mempertahankan rekod tanpa kalah di laman sendiri.

Keputusan di Stadium Darul Aman akan menentukan sama ada Kedah atau Selangor lebih layak untuk menduduki tangga ketiga teratas dalam pusingan pertama Liga Super musim ini.

"Sudah pasti kami perlu mengenal pasti siapa pemain mereka yang berbahaya dan mampu memberikan masalah buat kami.

"Kami akan menganalisais dan mengenal pasti setiap masalah," tambahnya.