Kedah sekali lagi mempamerkan aksi cemerlang dalam saingan Liga Super apabila melakar kemenangan bergaya 4-1 ke atas Pahang di Stadium Darulaman, malam ini.

Selepas diikat seri 1-1 berdepan Felda United minggu lalu, skuad kendalian Tan Cheng Hoe bangkit dengan aksi lebih tersusun.

Bagaimanapun, Lang Merah terpaksa menunggu sehingga menghampiri hujung babak pertama untuk membuka tirai jaringan menerusi Baddrol Bakthiar.

Pemain berusia 29 tahun itu melakukan rembatan rendah ke gawang Pahang selepas menerima hantaran Liridon Krasniqi.

Bermula babak kedua, Kedah sekali lagi menghukum pertahanan Pahang menerusi penyerang import Denmark, Ken Ilso, pada minit ke-67.

Liridon mengutip bantuan jaringan keduanya apabila hantaranya berjaya menemui Ilso untuk meletakkan Kedah selesa 2-0 di depan.

Pengendali, Tan Cheng Hoe, kemudian membawa masuk pemain lincah, Farhan Roslan, dan pemain itu bingkas melakar nama selaku penjaring.

Sepakan sudut Sandro Mendoca berjaya menemui Zachary Anderson sebelum dia menanduk ke arah Farhan untuk meledak gol ketiga Kedah pada minit ke-76.

Pahang kemudian berjaya meledak gol sagu hati menerusi Matheus Alves pada minit ke-89, namun ia tidak menyekat jentera serangan Lang Merah menyumbat gol keempat, sekali lagi menerusi Ilso.

Hantaran bijak Fakri Saarani berjaya melepasi kawalan pertahanan Pahang, Heo Jae-won, sebelum singgah ke kaki Ilso yang terus merembat ke gawang lawan.

Keputusan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan, sekaligus menyaksikan Kedah naik ke takhta Liga Super dengan lapan mata selepas empat perlawanan.

Keputusan lain:

JDT 0 SELANGOR 0

FELDA UNITED 1 KELANTAN 2

MELAKA UNITED 1 T-TEAM 2

P. PINANG 0 SARAWAK 1

PKNS FC 3 PERAK 0