Kedah berharap badan pentadbir Liga Malaysia (Liga-M), Liga Bolasepak Malaysia (MFL), tidak mengambil masa terlalu lama untuk menyalurkan geran tahunan kepada pasukan yang bertanding dalam saingan Liga Super dan Liga Perdana musim ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahahtir, berkata geran tersebut sangat penting untuk kelangsungan semua pasukan yang terlibat dan jika tidak disalurkan dalam masa terdekat, ia dibimbangi akan memberi kesan kepada pengurusan pasukan dan prestasi pemain.

Justeru, katanya, pasukan yang mengambil bahagian dalam Liga-M tidak mahu penangguhan bayaran geran tersebut mengundang pelbagai masalah dalaman pasukan serta mengganggu prestasi pemain.

”Kalau Kedah pun terasa (penangguhan bayaran geran) kerana kos untuk membiayai KFA itu tinggi, cuba bayangkan pasukan lain yang kurang berkemampuan,” katanya kepada pemberita di Sik, hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar hari ini bahawa pasukan Liga Super dan Liga Perdana mungkin perlu menunggu lebih lama lagi untuk mendapatkan geran tahunan daripada MFL yang dijangka disalurkan Ogos depan.

Menurut laporan itu, MFL gagal melunaskan pemberian geran tahunan kepada semua pasukan bertanding mengikut perancangan awal yang sepatutnya diberikan Mac lalu.

Keadaan itu menyebabkan beberapa pasukan menyuarakan kebimbangan tidak dapat bertahan dan meneruskan saingan kerana sebahagian besar geran yang diterima itu digunakan bagi menampung kos pasukan.

-- BERNAMA