Penyerang dan kapten PKNP FC, Shahrel Fikri Md Fauzi, enggan lagi memikirkan perpindahan ke Johor Darul Ta'zim (JDT) yang tidak menjadi musim ini, sebaliknya fokus dengan program pemulihan kecederaan hamstring yang dialaminya.

Shahrel, yang sudah melanjutkan kontrak bersama PKNP sehingga musim 2020, mengakui bukan mudah untuk menangani kecederaaan itu yang menyaksikannya tersisih hampir empat bulan.

Katanya, mentalnya juga terkesan memandangkan ini kali pertama dia mengalami kecederaan yang memerlukan tempoh rehat panjang.

"Ini kali pertama saya cedera lama dalam kerjaya bola sepak saya. Mental agak 'koyak' sedikit untuk pulih betul-betul. Sekarang ini, saya fokus untuk pemulihan," katanya.

Dengan masa depannya sudah disahkan bersama PKNP, Shahrel mengakui tidak sabar beraksi semula di padang dan membantu pasukannya mengharungi musim pertama dalam Liga Super tahun ini.

Shahrel kini menjalani proses pemulihan di Institut Sukan Negara (ISN) dan akan kembali ke Ipoh, Isnin depan bagi menyambung program pemulihan di sana.

"Sabtu dan Ahad memang saya ke Ipoh untuk menyaksikan rakan-rakan berlatih. Saya rasa mahu pulih cepat untuk membantu pasukan, apatah lagi ini kali pertama saya bersama PKNP bermain dalam Liga Super. Saya tidak sabar untuk bermain," katanya lagi.