Tiada yang lebih menggembirakan jurulatih Sarawak, David Usop, melainkan melihat pemain-pemain mudanya menunjukkan keberanian luar biasa.

"Saya tidak nafikan itu. Saya sangat gembira melihat pemain-pemain yang dinaikkan daripada skuad Piala Presiden ini beraksi dengan penuh keberanian."

David merujuk kepada persembahan pemain-pemain muda ini dalam aksi menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam, minggu lalu.

Beberapa pemain muda yang menunjukkan aksi berani dan matang termasuklah Nur Shamie Iszuan Amin, Tommy Mawat Bada, Mohammad Hafiz Abu Bakar, Dalgish Papin Test dan Abdul Rahim Abdul Razak.

"Malah, saya juga gembira dengan aksi Bonai atau nama sebenarnya Rodney Celvin Akwensivie.

"Kesemua mereka menunjukkan keberanian untuk menyaingi pemain-pemain berpengalaman seperti Safee Sali, Khyril Muhymeen dan Amirizdwan Taj," katanya.

Jelasnya, prestasi mereka amat melegakannya bagi mengukuhkan pasukan, terutama apabila berhadapan risiko kecederaan.

Sarawak menang 3-2 dalam aksi yang tertangguh 15 minit kerana hujan lebat itu, menerusi jaringan Mateo Roskam, ledakan cantik Mark Hartmann dan sentuhan pantas Mohammad Hafiz.

"Rentak kemenangan sebenarnya sudah dirasai sejak latihan apabila pemain-pemain menunjukkan keserasian, keseronokan dan semangat berpasukan yang tinggi.

"Mereka membawa semangat itu ke Shah Alam dan ternyata mereka mampu menyerap tekanan dan bermain seperti dalam latihan," jelasnya.

David berharap semangat itu akan terus disemarakkan dalam perlawanan seterusnya, menentang JDT, malam esok.

"Kami tidak dibarisi pemain bintang tetapi dengan semangat berpasukan yang tinggi dan keserasian yang menebal, kamiboleh mengubah apa jua taruhan di atas kertas.

"Saya hanya mahukan mereka fokus sepanjang 90 minit dan minimumkan kesilapan," katanya.