Juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), menamatkan saingan Liga Super 2016 tanpa sebarang kekalahan apabila menewaskan Selangor 2-1 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Selangor turun dengan merehatkan beberapa tonggak utama menjelang final Piala Malaysia, Ahad ini tatkala JDT mahu menamatkan saingan Liga Super musim ini tanpa kekalahan.

Penyerang JDT, Juan Martin Lucero, memiliki peluang meletakkan pelawat di depan pada minit ke-17, namun percubaannya tersasar.

Selangor kemudian berjaya menembusi benteng lawan pada minit ke-25 apabila Abdul Hadi Yahya menyudahkan umpanan Fitri Shazwan Radwan, namun jaringan dibatalkan kerana ofsaid.

JDT terus menggandakan asakan ke kawasan Selangor, tetapi benteng tuan rumah yang dikemudi Shahrom Kalam kekal ampuh sehingga tamat babak pertama.

Masuk babak kedua, JDT tampil lebih agresif dalam usaha meraih jaringan pembukaan.

Usaha JDT berhasil apabila Jorge Pereyra Diaz menemui sasaran pada minit ke-64.

Tujuh minit kemudian, Selangor bangkit menyamakan kedudukan menerusi Ahmad Hazwan Bakri.

Ketika Selangor seakan-akan menemui semula rentak, JDT memadamkan harapan kebangkitan tuan rumah apabila Amri Yahyah meledak gol kedua pada minit ke-77.

“Dalam separuh masa pertama, JDT memiliki banyak peluang tetapi gagal menjaringkan gol, saya berpuas hati dengan pemain saya kerana kami membuat persiapan untuk final Piala Malaysia,” jelas K. Gunalan, pengendali sementara Selangor.

“Saya amat gembira dengan kemenangan ini," ujar jurulatih JDT, Mario Gomez, pula.

"Dalam separuh masa pertama, kami mempunyai lapan hingga sembilan peluang, apa yang penting kami berjaya meraih kemenangan dalam perlawanan ini."