MELAKA 1 JOHOR DARUL TA'ZIM 2

Johor Darul Ta'zim (JDT) mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali keenam berturut-turut selepas menewaskan Melaka 2-1 dalam aksi di Stadium Hang Jebat sebentar tadi.


Dua gol dalam babak pertama menerusi Nazmi Faiz Mansor dan Diogo Santo cukup untuk memastikan JDT tidak perlu menunggu sehingga ke aksi seterusnya walaupun saingan liga musim ini masih berbaki empat perlawanan tatkala Melaka meraih gol sagu hati menerusi kapten, Shukor Adan.

Kemenangan ke atas skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan itu menyaksikan JDT melebarkan jurang di tangga teratas kepada 16 mata dan ia tidak boleh lagi dipintas oleh mana-mana pasukan meskipun skuad Harimau Selatan itu mencicirkan mata dalam baki aksi selepas pencabar utama, Pahang, tunduk di tangan Selangor 5-2 semalam.

Susulan kemenangan 3-2 ke atas skuad Merah Kuning dalam aksi terdahulu di laman sendiri, JDT bimbingan bekas penggempur, Luciano Figueroa, bertandang ke Stadium Hang Jebat dengan melakukan dua pertukaran dalam kesebelasan utama dengan menyenaraikan Afiq Fazail dan Adam Nor Azlin bagi menggantikan Leandro Velázquez dan Maurício Dos Santos.

Keterujaan skuad Harimau Selatan itu untuk mengesahkan kejuaraan terserlah apabila memecah kebuntuan ketika permainan baru berusia tujuh minit selepas pemain tengah, Nazmi Faiz, menyempurnakan peluang di depan gawang.

Bekas penyerang Buriram United, Santo, pula bijak melepasi perangkap ofsaid untuk mengutip bola lorongan Gonzalo Cabrera dan walaupun percubaannya ditampan penjaga gol tuan rumah, Khairul Fahmi Che Mat, Nazmi yang tidak dikawal tenang melepaskan rembatan kaki kiri untuk menjadikan kedudukan 1-0.

Melaka cuba memburu gol penyamaan menerusi rangkaian Nazrin Nawi, Patrick Reichelt dan Davy Claude Angan di barisan depan, namun situasi sebaliknya berlaku apabila pelawat terus melebarkan pendahuluan 20 minit kemudian dan kali ini, giliran Santo meletakkan nama dalam senarai penjaring.

Pemain berusia 32 tahun itu menyambut bola hantaran leret daripada bek kiri, La'Vere Corbin-Ong, dan selepas memperdayakan tiga pertahanan tuan rumah, dia melepaskan tendangan kaki kiri untuk bola tepat menuju ke penjuru kiri gawang, sekali gus meraikan jaringan ke-10 peribadi dalam saingan liga musim ini.

Tuan rumah mempamerkan aksi lebih kemas selepas rehat, menyaksikan perancang utama, Safiq Rahim, memperoleh peluang di depan petak penalti pada minit ke-59 tetapi sepakan lambungnya sekadar tersasar ke kanan gawang lawan.

Berikutnya, Safawi Rasid pula terlepas kesempatan untuk terus menjarakkan kedudukan buat pelawat selepas mensia-siakan peluang satu lawan satu dengan Khairul Fahmi.

Serangan tekanan tinggi yang diterapkan Melaka akhirnya berhasil ketika permainan berbaki tujuh minit apabila dianugerahkan sepakan penalti.

Walaupun Angan gagal menyempurnakan peluang terhidang, Shukor pantas meluru untuk menyambar bola muntah tetapi segalanya sudah terlambat buat skuad Hang Tuah untuk mengekang anak buah Figueroa daripada mengesahkan kejuaraan Liga Super keenam berturut-turut.

Kredit foto: Facebook Johor Southern Tigers

Keputusan lain:

Liga Super

KEDAH 3 PJ CITY FC 2
TERENGGANU FC 3 KUALA LUMPUR 1


Liga Perdana

SABAH 4 SARAWAK 1
PULAU PINANG 2 NEGERI SEMBILAN 1
UKM FC 2 TERENGGANU FC II 4