Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe tidak mahu pemainnya memandang rendah prestasi semasa pasukan Pulau Pinang yang belum mencatatkan sebarang kemenangan sebaliknya terus fokus bagi mengutip tiga mata penuh dalam aksi Derby Utara di Stadium Darul Aman, malam ini.

“Kami masih perlu fokus dan berikan aksi terbaik. Tidak ada pasukan lemah dalam saingan Liga Super biarpun Penang masih belum mencatatkan sebarang kemenangan.

“Memandang rendah keupayaan pemain Harimau Kumbang akan menjadikan pemain terlalu yakin dan sikap ini akan memakan diri. Saya sentiasa ingatkan mereka (pemain Kedah) untuk terus memberikan aksi terbaik di gelanggang sendiri,”katanya.

Cheng Hoe juga mengesahkan pemain import, Liridon Krasniqi pulih sepenuhnya dan akan memimpin jentera tengah Lang Merah untuk menggempur kubu Pulau Pinang bagi mencari mata penuh.

“Liridon (Krasniqi) akan beraksi malam ini sebaliknya Sandro Da Silva akan diketepikan kerana masih cedera dan belum cergas sepenuhnya,”katanya.

Cheng Hoe juga jelas berpuas hati dengan sokongan yang diterima daripada penyokong setia Hijau Kuning dan mahukan sokongan tersebut berterusan.

“Terima kasih kepada semua penyokong yang berdiri teguh memberi sokongan padu kepada pemain Kedah. Kami akan berikan yang terbaik untuk mencari satu lagi kemenangan di gelangang sendiri,”katanya.

Kemenangan ke atas Pulau Pinang akan memastikan skuad Lang Merah terus melebarkan rekod tanpa kalah kepada enam perlawanan dan kekal di persada Liga Super dengan 14 mata manakala kekalahan membuatkan Harimau Kumbang kekal di dasar liga tanpa sebarang mata.