Ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, mahu melihat kembali struktur taktikal kesebelasan utamanya apabila berhadapan Kuantan FA dalam saingan Piala FA di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang, esok.

Menurut Abu Bakar, beliau akan melakukan rombakan, terutama di bahagian pertahanan, berdasarkan prestasi tidak menentu pasukan, terutama ketika tewas 2-0 kepada Melaka United dalam Liga Super, Ahad lalu.

"Kami masih lagi melakukan kesilapan di minit-minit terakhir. Bertemu Kuantan FA, saya tidak mahu perkara sebegini berulang. Setiap peluang perlu dimanfaatkan jikalau ingin melangkah ke peringkat seterusnya.

"Saya sedar pasukan lawan tiada tekanan dan boleh membuat kejutan," ujarnya.

Oleh itu, pemilihan pemain akan dibuat berdasarkan prestasi yang ditunjukkan semasa latihan.

Kata Abu Bakar, "Ini untuk memberi peluang kepada pemain yang sentiasa berusaha keras di dalam latihan. Saya juga perlu adil untuk memberi peluang kepada mereka dalam kesebelasan utama.

"Bagi saya, sesiapapun tiada jaminan sebagai pemain utama, termasuk pemain import," jelasnya.