Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bercadang mengemukakan rayuan sambil mengadakan perbincangan bersemuka dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menyelesaikan isu kegagalan mendapatkan lesen kebangsaan dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, mengambil berat isu itu demi perkembangan bola sepak negeri dan akan mengetuai sendiri delegasi itu bertemu dengan FAM, Isnin ini.

Katanya, KAFA sedang mengenal pasti dan meneliti segala syarat atau dokumentasi yang perlu dilengkapkan oleh badan induk itu bagi memastikan Kelantan dapat bersaing dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M), musim depan.

"Kami akan ke FAM Isnin ini untuk berbincang dan mencari penyelesaian berkaitan isu pelesenan kelab yang hangat diperkatakan.

"Kalau peminat gusar (isu lesen kelab), saya lebih daripada itu kerana ia melibatkan nasib pasukan.

"Dari dahulu lagi, saya lebih pentingkan usaha mendapatkan lesen kebangsaan berbanding kedudukan liga.

"Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan masalah tersebut," katanya kepada media selepas menghadiri Kongres Tahunan KAFA Kali Ke-64 di Kota Bharu, hari ini.

Dalam perkembangan lain, KAFA turut mengumumkan pelantikan pemain bola sepak wanita Kelantan, Lizawati Abu Bakar, untuk jawatan exco bagi menggantikan Nubli Ab. Latif yang meninggal dunia, 18 Ogos lalu.

Semalam, FAM dalam satu kenyataan menerusi laman sesawang rasminya menjelaskan Kelantan merupakan satu-satunya pasukan daripada Liga Super 2018 yang telah ditolak permohonan mereka untuk mendapatkan lesen kebangsaan dan AFC kerana gagal menepati kriteria yang telah ditetapkan.

Untuk rekod, bagi membolehkan sesebuah pasukan itu diberikan lesen kelab, mereka perlu melepasi penilaian yang dibuat ke atas enam kriteria utama, iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran, perundangan, kewangan dan perniagaan seperti yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2018.

Bagi pasukan yang gagal, mereka telah pun diberikan surat pemakluman dan masih boleh merayu untuk mendapatkan lesen kelab seperti dinyatakan dalam Artikel 3.4.2 Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2018 dan rayuan mereka dijadualkan akan didengar dalam masa terdekat.