Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, menaruh keyakinan tinggi pasukannya mampu untuk mengatasi Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super malam ini bagi menamatkan penantian kemenangan selepas tiga perlawanan.

TFC dan Kuala Lumpur akan berentap di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras dengan masing-masing belum menemui sebarang kemenangan.

Bagaimanapun, skuad Peteh itu dilihat kurang bernasib baik selepas diikat seri PKNS FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di laman sendiri.

Irfan berpandangan pasukannya mampu untuk membawa pulang tiga mata andai dapat mengekalkan corak permainan konsisten seperti yang dipamerkan ketika menentang JDT minggu lalu.

"Pasukan saya perlu beraksi konsisten untuk mengejar kelompok atasan liga.

"Saya berharap kami dapat mengekalkan prestasi seperti ketika menentang JDT sebelum ini.

"Barisan pemain saya sudah bersedia untuk beraksi malam ini.

"Saya mengingatkan mereka agar tidak berasa selesa dan mengambil mudah Kuala Lumpur walaupun pasukan itu masih gagal mengutip sebarang mata," katanya.

Tiada perubahan besar akan dilakukan Irfan dalam aksi malam ini dengan tumpuan terarah kepada penyerang import, Tchetche Kipre, bagi memburu jaringan.

Dia turut berkeyakinan seorang lagi pemain import, Sanjar Shaakhmedov, akan dapat membentuk persefahaman dengan rakan sepasukan.

"Sanjar sudah dapat menyesuaikan diri dengan pasukan.

"Dia sudah mula mempelajari Bahasa Malaysia dan sudah mula menunjukkan aksi yang baik di bahagian tengah.

"Setakat ini, dia tidak berdepan masalah dalam pasukan ini," tambahnya.