Ketua jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abdul Salim, menjelaskan dia mempunyai sebab kukuh untuk melucutkan jawatan kapten daripada ayam tambatannya, Tchetche Kipre.

Tindakan itu dibuatnya bagi mengurangkan tekanan buat Kipre dan lilitan kapten itu diberikan kepada penjaga gol berpengalaman, Mohd Suffian Abdul Rahman.

Musim lalu, Kipre memukau dengan meledak keseluruhan 16 gol, namun selepas enam perlawanan musim ini, penyerang berasal dari Ivory Coast itu masih buntu mendapatkan jaringan.

"Dia mengakui gagal mengulangi prestasi musim lalu dan saya mengambil keputusan untuk melucutkan jawatan sebagai kapten pasukan dan saya berharap dia mampu kembali menampilkan aksi yang lebih baik," kata Irfan.

Kipre sudah pun diberikan surat tunjuk sebab minggu lalu untuk meningkatkan prestasinya yang merudum.

Cabaran untuk Kipre untuk menamatkan kemarau jaringan menyusul lagi apabila Terengganu bakal berentap dengan Selangor di Stadium Shah Alam, Jumaat ini.

"Saya menerima keputusan ini dan mana-mana pemain boleh mengetuai Terengganu."