Ketua jurulatih Selangor, P. Maniam, mengakui gembira dengan corak permainan anak buahnya yang merakamkan kemenangan bergaya 2-0 mengatasi Kelantan dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam tadi.

Lebih manis, mereka menghadiahkan kemenangan ini kepada pengurusan baharu Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal, yang dipilih dalam kongres luar biasa (EGM) persatuan, Khamis lalu.

“Kemenangan yang cukup bermakna kerana kami berjaya mengatasi semangat pemain Kelantan di Kota Bharu. Satu perlawanan yang sukar, namun pemain saya berjaya bertahan dan menyerang dengan cukup berkesan.

“Tiga mata penuh yang dikutip ini kami hadiahkan kepada presiden baharu Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal, dan semua pengurusan FAS yang dipilih minggu lepas,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Maniam juga menyifatkan jaringan seawal minit keempat oleh penyerang importnya, Juliano Mineiro, membunuh semangat perjuangan The Red Warriors (TRW) dan membolehkan pemainnya beraksi lebih tenang tanpa sebarang tekanan.

“Gol awal itu menjadi titik penting yang mengubah permainan Selangor untuk kental bertahan memastikan gawang tidak dibolosi oleh penyerang lawan sehingga tamat permainan.

“Keputusan 2-0 bagi saya cukup baik kerana Kelantan memberikan cabaran yang kuat melalui gerakan yang dilakukan penyerang, Mohammed Ghaddar dan Indra Putra Mahayuddin. Kami bertahan dengan baik dan berjaya mendapatkan gol kedua melalui serangan balas yang berkesan,” katanya.

Dalam saingan di Kota Bharu semalam, The Red Giants berjaya memalukan Kelantan 2-0 melalui jaringan pemain import dari Timor Leste, Juliano Mineiro, sambil membiarkan TRW menderita menanggung kekalahan kali ketiga berturut-turut di gelanggang sendiri.
Kemenangan ini membolehkan Selangor menduduki tangga ketiga dalam carta Liga Super, berkongsi 11 mata dengan Perak.