Keinginan besar Kuala Lumpur untuk mencipta kejayaan bersaing dalam Liga Malaysia musim depan menarik perhatian bekas penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Razak, hingga sanggup menolak lima lamaran pasukan lain untuk menyertai skuad The City Boys.

Zaquan menjelaskan dia mempunyai misi besar untuk membantu Kuala Lumpur menaikkan kembali nama pasukan itu menjadi antara pasukan disegani seperti mana pada era-90an.

Malah, dengan kehadiran beberapa pemain ternama lain seperti Indra Putra Mahayuddin dan Firdaus Faudzi, Zaquan berasakan Kuala Lumpur akan memberi tentangan hebat kepada pencabar-pencabar lain dalam saingan Liga Super.

“Saya mahu mencipta sejarah kejayaan bersama Kuala Lumpur. Semangat yang dimiliki dalam pasukan ini sangat tinggi,” katanya.

Zaquan dalam masa sama sedia menjadi pembimbing sejumlah besar pemain-pemain muda Kuala Lumpur yang disifatkan mempunyai potensi besar.

Jelasnya, Kuala Lumpur memiliki kombinasi pemain yang seimbang di antara pemain muda dan berpengalaman berbanding pasukan lain.

“Saya akan berusaha untuk mengikut setiap arahan yang diberikan jurulatih dan cuba untuk membantu pemain-pemain lain menghadapi saingan tahun depan,” ujarnya lagi.