"Satu kehilangan," kata pemain senior The Bos Gaurus, Mohd Nasir Basharuddin, mengenai bekas jurulatih Perak, Karl-Heinz Weigang, yang meninggal dunia di Jerman pagi semalam.

"Semasa hayatnya, beliau tidak lokek memberikan tunjuk ajar kepada kami (pemain). Saya faham orangnya agak tegas bila berbicara mengenai bola sepak tetapi saya tahu niatnya murni.

"Kalau boleh, dia mahu setiap pemainnya mempunyai mentaliti bola sepak yang positif," ujar Nasir lagi.


Pemain import kelahiran Brazil, Thiago Junio de Aquino, turut melahirkan rasa kehilangannya.

"Saya doakan keluarganya tabah. Hidup beliau adalah untuk sukan bola sepak. Banyak yang saya pelajari daripadanya.

"Saya pasti, ketika inipun, dia masih lagi melihat kami dari 'atas'. Oleh itu, saya dan rakan-rakan kena perbaiki diri dan mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan akan datang," jelas Thiago.

Turut merakamkan kesedihan ialah penolong pengurus pasukan, Azizi Rejab, yang banyak meluangkan masa bersama Weigang ketika berkhidmat bersama pasukan Perak.

"Saya kehilangan seorang kawan. Ilmu mengenai bola sepak, keadaan padang, mutu pengadilan dan pemain semuanya dicurahkan. Memang ikhlas orangnya," kata Azizi.

Bekas pengendali Perak dan kebangsaan, Weigang, 82, meninggal dunia di negara kelahirannya, Jerman, semalam akibat serangan jantung.

Weigang pernah melakar sejarah membawa skuad kebangsaan Malaysia layak ke Sukan Olimpik Munich 1980 dan mengemudi skuad Bos Gaurus menjuarai Piala Malaysia pada 1998 dan 2000.