Pengendali kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, mahu pemain negara turun dengan aksi berdisiplin serta bersedia mengerah segala kudrat sehingga wisel penamat apabila berdepan Filipina dalam aksi persahabatan antarabangsa, esok.

Bagi Kim Swee, walaupun ia bukan tugasan mudah untuk menangani Filipina di Manila, ia juga bukan sesuatu yang mustahil untuk skuad negara dalam misi merakam kemenangan.

Namun, pemain negara perlu menggandakan usaha berdepan lawan di ranking ke-124 dunia itu.

"Ranking dunia Filipina membuktikan mereka sebuah pasukan yang kuat.

"Jadi, kami perlu kekal fokus dan dengan kesungguhan dan disiplin, saya percaya kami mampu mendapatkan kemenangan," katanya.

Skuad negara tidak menghadapi sebarang masalah kecederaan serius pemain walaupun pemain pertahanan, Fadhli Shas, masih belum pulih daripada kecederaan buku lali.

Dalam masa yang sama, penyerang negara, Ahmad Hazwan Bakri, turut mahu memulakan aksi pertama bersama skuad kebangsaan tahun ini dengan melakar kemenangan.

"Semua persiapan berjalan lancar dan kami semua sudah bersedia menghadapi Filipina.

"Kita semua mahukan kemenangan kerana ini adalah permulaan aksi antarabangsa pertama pasukan Malaysia pada 2017.

"Untuk itu, kami memerlukan kemenangan," kata penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu.