Pengarah Teknikal Kelantan, Alfredo Gonzales, menjanjikan kebangkitan semula skuad The Red Warriors (TRW) apabila turun bertemu T-Team dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.

Gonzales berkata tiada alasan bagi anak buahnya gagal menampilkan persembahan terbaik sekalipun masih kecewa akibat tewas kepada Melaka United 3-0 dalam kempen Kumpulan C, Piala Malaysia, Sabtu lalu.

“Perlawanan menentang T-Team malam ini sangat penting bagi TRW untuk keluar daripada keresahan dan kembali bercakap tentang kemenangan.

“Sudah pasti kami tidak mahu kecewa kali kedua dalam tempoh seminggu dan saya harap kami mampu mengutip mata walaupun pertemuan ini menjanjikan saingan sengit bagi kedua-dua pasukan,” katanya.

Ditanya mengenai peluang ketua pasukan, Mohd Badri Radzi, untuk diturunkan selepas mengalami kecederaan kaki dalam perlawanan menentang Melaka, Gonzales mengakui terpaksa mengetepikannya sambil mengharap pengganti yang bakal diturunkan mampu menunjukkan aksi terbaik.

“Piya (Mohd Badri) terpaksa diketepikan akibat kecederaan tetapi saya harap pemain yang akan menggantikannya bakal menunjukkan aksi terbaik kerana bukan mudah untuk menentang skuad kendalian Rahmad Darmawan,” katanya.

Kemenangan TRW ke atas T-Team malam ini mampu meredakan kemarahan peminat yang mahukan Gonzales direhatkan akibat prestasi Kelantan yang kurang meyakinkan.

Untuk rekod, setakat ini, TRW menduduki tangga ketujuh dalam Liga Super dengan 17 mata selepas 14 perlawanan hasil daripada enam kemenangan, dua seri dan enam kekalahan.