PKNS FC 1 KELANTAN 3

Kelantan memulakan kempen Liga Super musim ini dengan cukup positif apabila melakar kemenangan 3-1 ke atas PKNS FC di Shah Alam.

Ia merupakan aksi pertama buat Kelantan musim ini sesudah perlawanannya berdepan Melaka United minggu lalu terpaksa ditunda ke tarikh baru ekoran padang Stadium Sultan Muhammad IV dilimpahi hujan lebat.

Kelantan berada di depan seawal minit ke-19 menerusi Mohamed Ghaddar sebelum penyerang Lubnan itu kembali menghantui PKNS dengan gol kedua selang dua minit kemudian.

Dua gol Ghaddar dalam tempoh tiga minit itu umpama satu peringatan, dia kini sudah kembali ke Liga Super dan bersedia menghantui pertahanan pasukan lawan.

PKNS cuba bangkit menerusi tandukan Gonzalo Soto selepas menerima hantaran Azmi Muslim pada hujung babak pertama.

Enggan tersentak, Kelantan meyumbat gol ketiga hasil sepakan percuma menarik yang disudahkan kapten, Mohd Badhri Radzi.

Mungkin terlalu awal untuk diperkatakan, namun dua gol oleh Ghaddar dan satu gol cantik Piya, seakan-akan memberi bayangan musim ini mampu menjadi lebih baik buat The Red Warriors berbanding musim lalu.

Kedudukan 3-1 kekal hingga tamat perlawanan, menandai permulaan baik buat The Red Warriors musim ini.

Tewas kepada Kelantan menjana berita buruk buat anak buah E. Elavarasan setakat ini yang masih gagal memungut sebarang mata selepas dua perlawanan.

Minggu lalu, PKNS FC tewas 1-0 kepada Felda United.