Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) hari ini sekali lagi tampil menjelaskan isu pemotongan mata dan sekatan perpindahan pemain dalam Liga Malaysia.

FMLLP dalam satu kenyataan berkata jika pasukan gagal melengkapkan proses pendaftaran pemain sebelum 15 Mei 2017, maka pasukan tersebut dilarang daripada mendaftar pemain baru semasa tempoh pendaftaran kedua sehingga perkara berkaitan diselesaikan sepenuhnya.

Ia adalah salah satu hukuman selain pemotongan enam mata selepas pasukan gagal memuat naik Surat Selesai Bayaran/Tunggakan Gaji, Surat Selesai Bayaran/Tunggakan KWSP, Surat Selesai Bayaran/Tunggakan Perkeso dan Surat Selesai Bayaran/Tunggakan LHDN ke Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak (SPMB).

"Namun, pasukan hanya boleh mendaftar pemain baharu jika pasukan memperoleh pendapatan hasil daripada pengurangan jumlah pemain yang sedia ada dalam pasukan.

"Jumlah yang boleh dibelanjakan untuk menandatangani pemain baharu adalah bersamaan dengan jumlah yang diperolehi hasil daripada transaksi perpindahan mana-mana pemain serta jumlah yang dijimatkan hasil daripada pengurangan jumlah pemain keseluruhan.

"Rasional tindakan ini adalah pendaftaran pemain baharu boleh dibuat jika ia mendatangkan keuntungan atau kebaikan kepada pasukan," katanya.

Sebelum ini, Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) , Tan Sri Annuar Musa, melahirkan rasa kecewa kerana gagal untuk mendaftar seorang lagi pemain import baru, iaitu Syedi L Imam.

FMLLP menambah sebagai contoh penjualan Mohammad Ghaddar kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) membolehkan KAFA menggunakan wang tersebut untuk membayar hutang, tunggakan atau gaji. Ini adalah objektif jelas FMLLP untuk membantu KAFA yang mengalami masalah kewangan.

FMLLP turut memberi amaran jika pasukan tersebut gagal melengkapkan proses pendaftaran sebelum hari terakhir musim 2017, iaitu 31 Oktober 2017, tindakan boleh diambil untuk menyingkirkan pasukan tersebut ke divisyen yang bawah daripada divisyen di mana pasukan tersebut sepatutnya bertanding untuk musim 2018.

"Kegagalan pasukan tersebut untuk melengkapkan proses pendaftaran sebelum permulaan musim 2018 boleh menyebabkan penyertaan pasukan tersebut dibatalkan untuk musim 2018," tambah FMLLP.

Sebelum ini, setelah dikenakan hukuman pemotongan enam mata dan sekatan perpindahan pemain semasa jendela kedua, pasukan T-Team, Perlis dan ATM mengemukakan dokumen yang tertangguh berserta rayuan mereka kepada FMLLP.

FMLLP berkata setelah meneliti permohonan daripada pasukan tersebut, mereka membatalkan sekatan perpindahan pemain dan pemotongan mata telah dikurangkan kepada tiga mata untuk T-Team dan Perlis sementara rayuan pasukan ATM masih dalam siasatan lanjut.